Friday, August 7, 2009

TANJUNG ITU

.
Tanjung itu,
Harumnya kini tidak seperti dahulu,
Pernah semerbak menusuk kalbu,
Kini tercari-cari wangi itu.
.
Apakah terganggu deria ini,
Diusik noda haruman asing,
Atau hilang sudah cetusan itu,
Berbanding wangian lain.
.
Tanjung itu,
Suatu ketika sepi menyelubungi,
Hanya pukulan ombak memecah damai,
Terik mentari serasa permai.
.
Apakah salah pandangan ini,
Tenteram tiada terlihat,
Kotak-kotak huni berjungkang-kalang,
Manusia, jentera simpang-perenang.
.
Kemanakah tanjung itu,
Tiada ia ternampak lagi,
Apakah rebah menyembah bumi,
Atau berselindung di balik kotak-kotak huni.
.
Wangi tiada lagi,
Sunyi makin sepi.
.
danau kota kuala lumpur,
15hb Ogos 2003


Yang tersirat:

Peredaran masa. Pertukaran zaman. Pembentukan sifat. Perubahan alam.

Semasa den_nai tinggal di Kampung Pasir Puteh, Batu 8, Labu; sedari lahir sehingga mencecah usia 6 tahun, ada waktunya kami akan pulang ke kampung di Kampung Jirat Tok Budi, Rembau, samada berhari raya, kenduri kendara dan semestinya tatkala berlaku kematian. Sekitar lewat 60-an dan seawal 70-an, di kebanyakan perkampungan, air masih lagi dari telaga dan malam berterang pelita atau lampu gasolin dan sinar bulan.

2 rangkap pertama adalah Bunga Tanjung. Semasa menanti gilir mandi di perigi baruh, kami (den_nai dan seorang-dua dewasa mengawasi) akan bertinggung di bawah pohon tanjung. Lazimnya di kedinginan pagi sebegitu, tatkala pancaindera masih separa sedar, haruman bunga-bunga tanjung tersebut tidak pernah gagal membangkitkan kesegaran pagi. Diremang kabus melitupi rimbunan hijau sawah padi serta kejauhan saujana penghujung titiwangsa amat mengujakan.

Anak kecil di alam serba baharu. Segalanya amat mengesankan. Pohon tanjung itu telah lama ditebang. Seingat den_nai pohon tersebut amat tinggi dan rendang, tidak seperti pohon-pohon tanjung baka sekarang. Walaubagaimanapun den_nai hanya berketinggian kurang satu meter ketika itu; harus sahaja segala yang menggelilingi den_nai menunjang, menggapai, menjulang dan sebagainya dari perspektif mata anak kecil.

Kini haruman bunga tanjung amat payah singgah ke deria ini meskipun den_nai lalu di bawah pohon tersebut yang berderet dan berbunga. Harus didekati dan diamati betul-betul untuk menikmatinya kembali.

2 rangkap seterusnya adalah unjuran tanah yang menganjur ke laut; Teluk Kemang, Port Dickson tentunya, singgah di benak den_nai semasa menulis puisi ini. P.D kini tidak seperti dahulu lagi. (Terlalu komersil. Its not entirely bad, really, but its not then…)

Itu Teluk Kemang tiga-puluh tahun yang lampau. Arus permodenan telah lama singgah ke Port Dickson Cuma den_nai yang sekali sekala menjengoknya kini. Oche’ Mok pun semakin uzur, setia meniti usia meladeni isterinya, Oche’ Semah yang telah tidak dapat melihat mahupun bergerak sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Cantik pasangan itu. Semoga den_nai dan Ayu mampu meniti usia kami sedamai itu.

Rangkap ke 5 merujuk kepada kedua-duanya, si Kembang dan si Tanah, secara simboliknya bersua tetapi tidak kelihatan. Masih wujud cuma perlu diteliti untuk ditemui.
.

2 comments:

ZULKIFLI BIN MOHAMED said...

Salam Pujangga Deli,

"sungguh terasa nostalgianya kenangan yang tersusun dalam penceritaan saudara kali ini",

"paling akhir saya berkunjungan ke Teluk Kemang, PD ialah sekitar tahun 2001 - membawa isteri bercuti ke sana".

_deli said...

Salam sdr Zul,

Masin laut kini tidak lagi menarik perhatian den_nai apatah lagi dipersetujui oleh kulit badan yang semakin kusam dan kendur...