.
Sirih carang sirih kerakap,
....Susun bersusun sirih rakit;
Pilih pandang pilih cakap,
....Santun bersantun sisih penyakit.
Yang tersurat:
Sirih. Terlalu selari dan sinonim dalam peradaban Melayu. Itu dahulu; ialah, sekali air bah, sekali pantai berubah. Sirih kini tinggal (moga kekal diletakkan pada) status symbol dalam majlis-majlis adat tertentu. Walaubagaimanapun, dari sudut perubatan, sirih telahpun melewati proses metamorfosis; seiring meniti kemajuan teknologi. Hadirnya hari ini bukan hanya berbentuk helaian, malah pelbagai – kapsul, cecair, losyen dsb. Pemakaiannya juga tidak lagi terbatas dalam lingkungan masyarakat tetentu sahaja.
Yang tersirat:
Ahh…pantun, subjek kegemaran den_nai. Sejujurnya, pantun ini antara pantun favourite den_nai kerana ia merupakan pantun yang hampir sempurna dari kaca mata den_nai. Mengapa? Mari kita analisis pantun ini…
Sukukata. Dalam sesebuah pantun yang baik jumlah sukukata yang digunakan seeloknya berjumlah 8 hingga 10 pada setiap baris. Pantun den_nai menepati ciri ini.
Susunan pantun. Lazimnya pantun berima a, b; a, b. pada penghujung setiap baris sudah cukup baik. Den_nai telah berusaha menyusunnya lebih dari itu, yakni bukan sekadar pada penghujung baris malah pada setiap perkataan yang dipilih. Sila rujuk padanan sukukata setiap patah perkataan yang den_nai gunakan.
Sirih carang sirih kerakap, (9 sukukata)
....Susun bersusun sirih rakit; (9 sukukata)
Pilih pandang pilih cakap, (8 sukukata)
....Santun bersantun sisih penyakit. (10 sukukata)
Pembayang. Sirih, unsur peradaban Melayu diketengahkan. Namun, apa itu sirih carang, kerakap dan rakit? Sirih carang adalah sirih berdaun muda, sementara sirih kerakap adalah sirih yang di bawah daunnya kasar dan keras – pastinya daun sirih tua. Sirih rakit pula adalah susunan daun sirih yang berjumlah sebanyak 120 helai. Terus terang den_nai katakan yang den_nai tidak tahu apa signifikannya 120 helai itu tetapi den_nai mengambil maksud ramai; juga percampuran daun tua dan daun muda turut melambangkan pergaulan mayarkat majmuk. Susun bersusun sudah tentulah yang teratur dan mengikut susur galur tesendiri.
Maksud. Ini jelas, tak perlu rasanya den-nai terus bersuluh dalam terang. Apapun budaya Melayu mementingkan supaya seseorang itu memerlihara tingkah laku di mana juga ia berada. Pandang di sini bukan sekadar apa yang dilihat malah turut berpengertian sudut pandangan atau buah fikiran. Oleh itu apabila mengutarakannya;
“...rambut tidak putus, tepung tidak berselerak”, pastikan tidak menyinggung pihak yang mendengarnya. Terpeliharanya tertib susila, maka tersimpanglah segala macam kekusutan.
Yang terseret:
Pantun ini adalah pantun pembuka (rangkap pertama) pada siri pantun berkait yang pernah den-nai hantar untuk pertandingan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Jangankan menang, disebutpun tidak. Banyak syarat yang den_nai langgar. Itulah, bila orang tak pandai nak memandai-mandai; segala usaha habis tergadai.
Minta pinang sehiris, gambir secebis. Alahai, kapur pun dah habis...
"Ayu, keropok ada?"
.
Friday, August 14, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
5 comments:
Salam Pujangga Deli,
"saudara rupanya peminat pantun Melayu, syabas ! - jarang sekali menemui orang yang memiliki minat ini, saya pasti manusia begini boleh dibilang dengan jari sahaja".
Salam sdr Zul,
Terima kasiah. Terlalu tinggi pujian itu. Saya percaya ada/masih ramai lagi yang meyandang khazanah Melayu, cuma mungkin kita belum tersua insan-insan ini.
Menyandang dengan megah dan bukan bagai beban. Itu seharusnya.
Salam Deli..Deen!
Yeap..jarang sekali anak muda sukakan pantung Melayu..bagi mereka minat berpantung menjadi ketawaan rakan2. Syabas..lawati blog saya untuk lebih mengenali warisan Melayu
Deen
Salam Deen,
Selamat bertandang.
Anak-anak sekarang cakap 'direct' aja; beralaspun tidak inikan pula nak berbayang-bayang.
Been to your blog before and will do again.
Salam Pujangga Deli,
"selamat menjalani ibadah puasa".
Post a Comment