Friday, August 28, 2009

AYAH LEWAT USIA

.
Siapa sangka siapa duga,
Akhirnya jodoh tiba juga,
Ingatkan dah tersasar bujang tua,
Disuruh nikah lengahkan juga,
Asyik leka, enjoy dan career.
.
Dalam diam sibuk semena,
Merasa juga bercahaya mata,
Ayah tua sabar orangnya,
Senanglah anak dapat bermanja,
Silap arah besarnya mengada-ada.
.
Anak teman selesai menengah,
Anak awak baru nak kenal sekolah,
Anak teman lincah dan gagah,
Awak kejar anak pun termengah-mengah.
.
Anak awak disangka cucu,
Teman-teman dah mula nak bermenantu,
Anak teman sanding sebahu,
Anak awak baru nak putus susu.
.
Di rumah sibuk menukar lampin,
Teman di luar sewat motor test engine,
Sport cars, motor besar bertukar-tukar,
Awak MPV jenuh susun askar.
.
Teman di golf course 18-holes,
Balik rumah tidur berdengkur,
Awak bersungut anak kencing bertabur,
Disuruh tak boleh,
jengkel pulak tu bila ditegur.
.
Setahun dua usia pencen,
Anak yang tua pun belum dapat lesen,
Yang bongsu baru nak kenal kindergarten,
Mujur juga anak tak sampai sedozen,
Kalau tidak harus badan cepat condemn.
.
Panjang usia dapatlah son & daughter-in-law,
Merasa bercucu tak berani nak khabar,
Manalah tahu esok lusa dah tak sedar,
Siang malam berdoa diatas tikar.
“Ya Allah, cepatlah anak-anak aku ni besar!”.
.

taman melawati, kuala lumpur,
16:30 ptg,
01hb. April 2004.


Yang tersurat:

Kenyataan dan ramalan hari mendatang. Den_nai bernikah pada usia yang agak lewat juga iaitu mencecah 35 tahun. Bukan den_nai tak cari tapi kan jodoh dan pertemuan itu di tangan ALlah? Sudah begitu suratan Nya.

...Tabuh kumandang dini hari,
.......Azan bergema subuh menjelang;
...Jodoh kan datang namun dicari,
.......Sakan dipaksa gaduh memanjang.

Nak hurai ke pantun ni? Tak payahlah kan; nanti umpama cerita dalam cerita; alkisah seribu satu malam, terseret-seret meleret-leret. Tapi dah terlanjur menyebut tu, den_nai sentuhlah sikit. Ringkas. Pada pembayang – subuh melambangkan permulaan hari yang baharu, umpama pernikahan itu sendiri merupakan suatu penghidupan yang baharu. Pada maksud pula erti gaduh di sini bukannya sengketa malah gelisah yang merunsingkan benak.

Ditakdirkan sesuatu, pasti ada hikmah, itupun kalau kita ingin melihatnya. Den-nai dapat rasakan tahap toleransi den_nai meladeni kerenah anak-anak agak extra sikit; “…ayah tua sabar orangnya”. Iyalah tu! Sesekali terpekik juga amarah bak halilintar dikala sepi. Mungkin juga den_nai sebenarnya letih badan melayan bebudak ni; jadi dibiar aja anak-anak tu berperangai. Bila dah agak keterlaluan barulah ditegur. Secara tak lansung threshold tu dah berganjak sedikit.
.

Friday, August 14, 2009

PANTUN PESAN BERPESAN

.
Sirih carang sirih kerakap,
....Susun bersusun sirih rakit;
Pilih pandang pilih cakap,
....Santun bersantun sisih penyakit.

Yang tersurat:

Sirih. Terlalu selari dan sinonim dalam peradaban Melayu. Itu dahulu; ialah, sekali air bah, sekali pantai berubah. Sirih kini tinggal (moga kekal diletakkan pada) status symbol dalam majlis-majlis adat tertentu. Walaubagaimanapun, dari sudut perubatan, sirih telahpun melewati proses metamorfosis; seiring meniti kemajuan teknologi. Hadirnya hari ini bukan hanya berbentuk helaian, malah pelbagai – kapsul, cecair, losyen dsb. Pemakaiannya juga tidak lagi terbatas dalam lingkungan masyarakat tetentu sahaja.

Yang tersirat:

Ahh…pantun, subjek kegemaran den_nai. Sejujurnya, pantun ini antara pantun favourite den_nai kerana ia merupakan pantun yang hampir sempurna dari kaca mata den_nai. Mengapa? Mari kita analisis pantun ini…

Sukukata. Dalam sesebuah pantun yang baik jumlah sukukata yang digunakan seeloknya berjumlah 8 hingga 10 pada setiap baris. Pantun den_nai menepati ciri ini.

Susunan pantun. Lazimnya pantun berima a, b; a, b. pada penghujung setiap baris sudah cukup baik. Den_nai telah berusaha menyusunnya lebih dari itu, yakni bukan sekadar pada penghujung baris malah pada setiap perkataan yang dipilih. Sila rujuk padanan sukukata setiap patah perkataan yang den_nai gunakan.

Sirih carang sirih kerakap, (9 sukukata)
....Susun bersusun sirih rakit; (9 sukukata)
Pilih pandang pilih cakap, (8 sukukata)
....Santun bersantun sisih penyakit. (10 sukukata)

Pembayang. Sirih, unsur peradaban Melayu diketengahkan. Namun, apa itu sirih carang, kerakap dan rakit? Sirih carang adalah sirih berdaun muda, sementara sirih kerakap adalah sirih yang di bawah daunnya kasar dan keras – pastinya daun sirih tua. Sirih rakit pula adalah susunan daun sirih yang berjumlah sebanyak 120 helai. Terus terang den_nai katakan yang den_nai tidak tahu apa signifikannya 120 helai itu tetapi den_nai mengambil maksud ramai; juga percampuran daun tua dan daun muda turut melambangkan pergaulan mayarkat majmuk. Susun bersusun sudah tentulah yang teratur dan mengikut susur galur tesendiri.

Maksud. Ini jelas, tak perlu rasanya den-nai terus bersuluh dalam terang. Apapun budaya Melayu mementingkan supaya seseorang itu memerlihara tingkah laku di mana juga ia berada. Pandang di sini bukan sekadar apa yang dilihat malah turut berpengertian sudut pandangan atau buah fikiran. Oleh itu apabila mengutarakannya;
“...rambut tidak putus, tepung tidak berselerak”, pastikan tidak menyinggung pihak yang mendengarnya. Terpeliharanya tertib susila, maka tersimpanglah segala macam kekusutan.

Yang terseret:

Pantun ini adalah pantun pembuka (rangkap pertama) pada siri pantun berkait yang pernah den-nai hantar untuk pertandingan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Jangankan menang, disebutpun tidak. Banyak syarat yang den_nai langgar. Itulah, bila orang tak pandai nak memandai-mandai; segala usaha habis tergadai.

Minta pinang sehiris, gambir secebis. Alahai, kapur pun dah habis...

"Ayu, keropok ada?"
.

Friday, August 7, 2009

TANJUNG ITU

.
Tanjung itu,
Harumnya kini tidak seperti dahulu,
Pernah semerbak menusuk kalbu,
Kini tercari-cari wangi itu.
.
Apakah terganggu deria ini,
Diusik noda haruman asing,
Atau hilang sudah cetusan itu,
Berbanding wangian lain.
.
Tanjung itu,
Suatu ketika sepi menyelubungi,
Hanya pukulan ombak memecah damai,
Terik mentari serasa permai.
.
Apakah salah pandangan ini,
Tenteram tiada terlihat,
Kotak-kotak huni berjungkang-kalang,
Manusia, jentera simpang-perenang.
.
Kemanakah tanjung itu,
Tiada ia ternampak lagi,
Apakah rebah menyembah bumi,
Atau berselindung di balik kotak-kotak huni.
.
Wangi tiada lagi,
Sunyi makin sepi.
.
danau kota kuala lumpur,
15hb Ogos 2003


Yang tersirat:

Peredaran masa. Pertukaran zaman. Pembentukan sifat. Perubahan alam.

Semasa den_nai tinggal di Kampung Pasir Puteh, Batu 8, Labu; sedari lahir sehingga mencecah usia 6 tahun, ada waktunya kami akan pulang ke kampung di Kampung Jirat Tok Budi, Rembau, samada berhari raya, kenduri kendara dan semestinya tatkala berlaku kematian. Sekitar lewat 60-an dan seawal 70-an, di kebanyakan perkampungan, air masih lagi dari telaga dan malam berterang pelita atau lampu gasolin dan sinar bulan.

2 rangkap pertama adalah Bunga Tanjung. Semasa menanti gilir mandi di perigi baruh, kami (den_nai dan seorang-dua dewasa mengawasi) akan bertinggung di bawah pohon tanjung. Lazimnya di kedinginan pagi sebegitu, tatkala pancaindera masih separa sedar, haruman bunga-bunga tanjung tersebut tidak pernah gagal membangkitkan kesegaran pagi. Diremang kabus melitupi rimbunan hijau sawah padi serta kejauhan saujana penghujung titiwangsa amat mengujakan.

Anak kecil di alam serba baharu. Segalanya amat mengesankan. Pohon tanjung itu telah lama ditebang. Seingat den_nai pohon tersebut amat tinggi dan rendang, tidak seperti pohon-pohon tanjung baka sekarang. Walaubagaimanapun den_nai hanya berketinggian kurang satu meter ketika itu; harus sahaja segala yang menggelilingi den_nai menunjang, menggapai, menjulang dan sebagainya dari perspektif mata anak kecil.

Kini haruman bunga tanjung amat payah singgah ke deria ini meskipun den_nai lalu di bawah pohon tersebut yang berderet dan berbunga. Harus didekati dan diamati betul-betul untuk menikmatinya kembali.

2 rangkap seterusnya adalah unjuran tanah yang menganjur ke laut; Teluk Kemang, Port Dickson tentunya, singgah di benak den_nai semasa menulis puisi ini. P.D kini tidak seperti dahulu lagi. (Terlalu komersil. Its not entirely bad, really, but its not then…)

Itu Teluk Kemang tiga-puluh tahun yang lampau. Arus permodenan telah lama singgah ke Port Dickson Cuma den_nai yang sekali sekala menjengoknya kini. Oche’ Mok pun semakin uzur, setia meniti usia meladeni isterinya, Oche’ Semah yang telah tidak dapat melihat mahupun bergerak sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Cantik pasangan itu. Semoga den_nai dan Ayu mampu meniti usia kami sedamai itu.

Rangkap ke 5 merujuk kepada kedua-duanya, si Kembang dan si Tanah, secara simboliknya bersua tetapi tidak kelihatan. Masih wujud cuma perlu diteliti untuk ditemui.
.