Friday, March 20, 2009

TUNTUTAN KEMAJUAN

.
Kemajuan perlukan pengorbanan;
Pohon demi pohon rebah,
Bukit demi bukit habis ditarah,
Lembah dan lurah berubah wajah,
Litup bumi selesai punah,
Yang teserlah merah tanah.
.
Kemajuan perlukan pengorbanan;
Dahulu unggas riang berterbangan.
Berlari lompat ungka dan kera,
Redup memandang hutan menghijau,
Kini perit bahang dirasa,
Mergastua lesap entah kemana.
.
Kemajuan perlukan pengorbanan;
Basa-basi kini sudah basi,
Tingkah-laku tidak lagi bepekerti,
Tata-susila menyusah diri,
Sopan-santun hilang sepi,
Luput musnah jatidiri.
.
Kemajuan perlukan pengorbanan;
Jiran tetangga kurang bertegur,
Pantang larang satu persatu gugur,
Adat istiadat turut berkubur,
Garis peradaban mulai kabur,
Yang muncul congak dan catur.
.
Kemajuan merapatkan sempadan,
Jurang pemisah kononnya berkurang,
Satu dunia satu peradaban.
.
Namun,
Apa gunanya kemajuan,
Andainya yang diperlukan semua terkorban!
.
setiawangsa, kuala lumpur,
isnin, 17:45 ptg,
01hb April 2002
.


Yang tersirat:

“Biar mati anak jangan mati adat”; biasa dengarkan? Saudara juga pernah diperdengarkan dengan ungkapan, “…kalau anak dah mati, siapa nak menyambung adat!”. Betul jugakan?

Tapi perumpamaan orang dulu-dulu bukannya sekadar maksud yang tersurat sahaja. Memanglah kita tak mahu anak kita mati dek kerana apa sekalipun. Katakanlah adat menyatakan bahawa setiap anak pertama mesti dibunuh! Amacam? Double jeopardy. Lagi haru!

Maksudnya, andai anak dan adat diberi perbandingan dan pilihan, utamakan adat dahulu, kerana adat itu bangsa, rumpun kita. Perteguhkanlah. Bekorbanlah kita, hatta, seorang anak sekalipun demi untuk rumpun bangsa sendiri.

Banyak perkara yang berlaku di luar jangkaan dan kawalan kita atau kita sebenarnya membiarkan ia berlaku dan menjangka kawalannya. Erti kata lain, kita sebahagian dari perubahan itu tersebut tetapi lebih mencatur untuk diri sendiri dan lingkungan terdekat sahaja.

Adakah kita semakin menjurus menjadi enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing?

2 comments:

Rudy Djoharnaen said...

nice one bro,

namun ada juga mengatakan:

biar adab, bukan adat.

bagaimana pula?

_deli said...

Salam,
Maksud teman; 'biar mati anak jangan mati adab'? Tak pernah pulak den_nai terdengar disebut sebegini. An interesting phrase to ponder though.