.
Pada helaian putih ini,
Yang sentiasa pasrah menerima,
Apa juga yang dicatit dan tercalit,
Sedikit atau banyak kait-berkait,
Setia bersama tinta biru.
.
Pada helaian bersih ini,
Rahsia alam tersemi sedikit cuma,
Dusta dan nista disemai merata,
Diajar dipelajar sekata maju,
Setia bersama tinta biru.
.
Pada helaian suci bening ini,
Dipenuhi bait-bait ikhlas,
Tersirat dan tersurat bertimbal balas,
Bekalan duniawi dan ukhrawi,
Setia bersama tinta biru.
.
Pada helaian-helaian ini juga,
Kau dengan lirikan tajam,
Membelalak dan mengintai,
Angguk mengia geleng menidak,
Lalu kau coretkan tinta merah.
.
taman bakti,
kuala lumpur,
20:05 mlm,
01hb. April 2002.
Yang tersorot:
Alahai Zed. Ini teman den_nai sedari umur 12 tahun. Sedikit eccentric orangnya namun tidak lokek ilmu. Tanggapnya terhadap yang lain, dikenali mahupun tidak, sentiasa positif. Kagum sangat den_nai akan sifatnya yang satu ini. Kadangkala tertanya juga; “…iyalah tu?”, tetapi hatinya memang mulia.
Puisi ini adalah pancaran atau refleksi puisi Zed yang pertama terpahat di hati den_nai. Tidak keterlaluan seandainya den_nai mengakui bahawa ia juga adalah sepuhan kepada ketagihan berkarya. Ketika itu kami berusia 16 tahun, tingkatan empat. Bait-bait puisi asalnya den_nai sudah lupa sementelah Zed sendiri tidak menyimpannya. Sedikit sebanyak kandungannya begitulah, menyindir dan meletakkan seorang guru di tempatnya dalam memberi tugasan, seterusnya meneliti tugasan tersebut. Namun maksud tersirat lebih luas dari itu dan seandainya saudara mempunyai tafsiran sendiri, alhamdulilLah.
Pertemuan pertama dengan Zed adalah di bilik C17, Hostel C, Maktab Rendah Sains MARA Seremban. Arwah abah Zed, Abdul Manan Omar dan maknya, Sa’ayah Jamil yang den_nai panggil Abah dan Mak Yah berasal dari Parit Sulong, Batu Pahat, Johor. Alkisah, 1977 kami merupakan anak harapan MARA yang dikutip dari daerah-daerah pendalaman (ketika itulah) untuk digilap potensi masing-masing. Abah dan Mak Yah turut berkenalan dengan arwah ayah dan mak serta menitip Zed untuk dijenguk arwah ayah. Dari situlah bermulanya persahabatan dan persaudaraan yang terjalin pada tahun-tahun mendatang.
Fast forward ke bumi asing, Amerika Syarikat. Kami setempat bersama buat seketika di Duluth, Minnesota. Seterusnya kami berpisah untuk beberapa tahun berikutnya. Kami hilang khabar selama lebih kurang 5 tahun lamanya. Mencari identiti diri dan hala tuju masing-masing. Kononnyalah. Kami tak ambil tahu apa yang seorang daripada kami buat, dan kami tak mahu yang seorang lagi tahu apa yang kami buat. Begitulah gamaknya. Tapi dalam arus perubahan alam telekomunikasi (and the wiggling waggling tounges), berita elok dan yang tak elok tu singgah juga ke telinga yang seorang lagi.
Zed is a true artist. Jiwa seninya sentiasa terpancar biarpun di mana dia berada. A man true to his art. Zed pernah menyebut bahawa arwah Ka’ Chek (ingat Ruslan dari blog - Kenangan : Iwan)) lah yang melonjakkannya ke dunia seni. Salah satu hari lepaknya di rumah arwah ayah, Zed ada melakar lalu menunjukkan hasil kerja tersebut kepada arwah Ka’ Chek. Arwah memuji artwork itu dan kata Zed lagi pujian itu telah menanamkan keyakinan pada dirinya. Menarik bukan? Kami di awal belasan tahun pada waktu itu. Jadi ingatlah wahai ibu-ibu, bapa-bapa atau sesiapa sahaja yang sedikit dewasa, berilah sedikit peransang kepada anak-anak kecil dan remaja kita. They are very impressionable.
Zed, if you are reading this, tak perlu membelalak dan mencoretkan ia dengan tinta merah.
Assalamualaikum.
Friday, April 3, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Remembered the time when Zek wrote the poem. Puan Zawiyah read it aloud in class.I think it was a bit shorter than yours.
Salam,
You remembered! Wow, I'm impressed that your memories goes that far for something insignificant (to some). Thank you.
Post a Comment