Saturday, October 8, 2011

SERI MAYA

.
Renyai tatkala itu,
Sang Ayah mampir ke pinggir jalan;
Anak kecil yang dibocengnya turun
….sendiri ke permatang.

Anak sekolah yang setia mengalas beban,
….dihulurkan baju hujan untuk dipakai;
Renyai kian giat.

Sang Ayah yang sedia berkalis air,
….tekun dan sabar membantu si anak
……..mengenakan lembar biru itu.

Diselubungkan Si Anak bersama galas ilmu
….yang diusungnya sehari-hari;
Lantas dikenakan butangnya satu persatu,
….sedari dagu melabuhi buku lali.

Siap dipakai dibenahi pula
….agar raut mulus si anak
……..tidak terlindung memandang.

Si Anak menginjak papak lantai
….menguak kaki kembali memboceng;
Didakap pinggang Sang Ayah sepemeluk.
Digapai Sang Ayah peha si anak,
….memastikan letak duduknya kejap.

Ditoleh Si Anak penuh kasih;
Indah sungguh pemandangan itu.

Lalu lewat mereka
….meninggalkan persinggahan sementara;
Menghilang dalam guguran
….permata dari langit.
.
.
setiawangsa, kuala lumpur,
khamis, 16:10 ptg,
20hb. April 2006.


Yang tersurat:

Seperti beberapa puisi yang lain, di bawah jejantas penghubung Kampung Warisan dan stesyen LRT Setiwangsalah ilham-ilham den_nai tercetus, terlayang seketika sementara menanti Ayu menapak turun perhentian.

Mengapa Seri Maya? Sedikit sebanyak puisi ini berkait dengan puisi Tuntuan Kemajuan yang den_nai tulis pada 1hb April 2002. Sila silang rujuk entri tersebut Hari-hari menunggu Ayu, pandangan den_nai terlempar kepersekitaran.

Yang tersirat:

SRI MAYA adalah kondominum yang tesergam setelah kehijauan yang dahulunya dirobah. Sri atau Seri jelas maksudnya iaitu bercahaya atau bersemarak. Boleh juga diertikan sebagai indah, mulia dan megah. Maya pula bermakna bayangan atau khayalan. Dalam ertikata lain, kelihatannya ada tetapi sebenarnya tidak. Bagaimana pula yang tidak kelihatan itu dikatakan bercahaya dan bersemarak?

Di sinilah yang menarik mengenai persepsi. Cantik di mata kita tidak semestinya molek di mata orang lain. Apa menariknya perihal orang sedang memboceng motosikal? Mungkin tiada. Namun apa yang bersemarak di mata den_nai adalah hubungan yang terjalin antara dua insan tersebut. Kasih dan sayang bersifat maya, tidak fizikal, terpancar cahaya, bersemarak dan mulia. Kasih dan sayang sediada terbina lantas berkembang. Satu cetusan rasa yang terbit dari naluri seorang ayah. Indah. Murni.

Gugurnya permata dari langit itu sebenarnya adalah airmata den_nai yang turut gugur memerhati dan menyelami peristiwa tersebut. Betapa tulusnya perlakuan sang Ayah. Alangkah bagusnya andaikata semua ayah di mukabumi ini sebegitu. Den_nai sekadar mampu berdoa dan berharap. Moga den_nai turut tergolong dalam kategori sedemikian.

Itulah ironisnya Seri Maya.
.

No comments: