.
Orang berkolek awak berkolek,
.......Orang mudik awak hanyut;
Orang bersolek awak bersolek,
.......Orang cantik awak (ngapa) serabut (?).
Yang tersurat:
Sebelum pembaca tersinggung dek pantun ini dan melatah tidak berpenghujung, “awak” pada pantun ini bukanlah gantinama diri kedua bermaksud kamu mahupun engkau. Pada pantun ini “awak” adalah gantinama diri pertama bermaksud saya, aku ataupun diri sendiri. Penggunaan sebegini lebih cenderung di alam Minangkabau. Dipercontohkan; “...dek awak indak paduli…” bermakna kerana diri sendiri tidak mengambil tahu; menyindir diri dan dalam pada masa yang sama mempercontohkan diri pada orang lain.
Yang tersirat:
Berilmu tanpa amal, beramal tanpa ilmu. Pantun ini lebih menjurus kepada yang terkemudian – beramal tanpa ilmu. Budaya meniru dek suka-suka amatlah berbahaya. Kesannya ibarat api dalam sekam, merebak dalam diam; apabila tersedar lazimnya keadaan telah menjadi parah. Perbuatan meniru ini bukan sekadar bersolek sahaja kerana bersolek ini sekadar perumpamaan untuk mahukan yang nampak elok. Itu pada maksud pantun yang masih lagi berkias. Begitulah halusnya berbahasa Melayu.
Berikut adalah analisis pantun:
Sukukata: Pantun ini menepati ciri-ciri pantun yang baik pada jumlah sukukata yang digunakan, iaitu 8 hingga 10 pada setiap baris.
Susunan pantun: Lazimnya pantun berima a, b; a, b. pada penghujung setiap baris sudah cukup baik. Sungguhpun padanan ini mencakupi setiap patah perkataan namun ia adalah dari kelompok perkataan yang berulang iaitu perkataan orang, awak, kolek dan solek. Pantun sebegini lebih mudah untuk digarap. Sila rujuk padanan penghujung sukukata pada perkataan yang di gunakan.
Orang berkolek awak berkolek, (10 sukukata)
.......Orang mudik awak hanyut; ( 8 sukukata)
Orang bersolek awak bersolek, (10 sukukata)
.......Orang cantik awak (ngapa) serabut (?) (9/11 sukukata)
Pada baris akhir, (ngapa) dan (?) dipertambah kerana meyebutnya secara lisan memberi impak yang lebih.
Pembayang: Kolek atau sampan kecil merupakan alat pengangkutan; kenderaan untuk peralihan. Simbolisnya, alat untuk berubah dari suatu bentuk/titik ke suatu bentuk/titik yang lain. Berkolek di perairan harus pandai teknik mengemudinya, selok- belok mendayung mesti dipelajari dan tahu mempraktikkannya. Arus adalah halangan dan cabaran utama berkolek.
Gagal mengemudi, seseorang di sungai yang ingin mudik ke hulu akan hanyut dibawa arus ke hilir dan akan tersasar jauh dari tujuan asal. Sebegitu jugalah bagi orang yang di lautan, akan lebih malanglah ia. Pastinya merugikan tenaga, usaha, masa dan besar kemungkinan hilang pedoman.
Maksud: Seperti yang disebutkan tadi, bersolek adalah kiasan untuk mahukan yang cantik. Gagal menurut langkah-langkah bersolek akan menghasilkan sesuatu yang bukan sahaja tidak menjadi malahan bertambah jelik. Bertambah parah jika kesan jangka panjang seperti alahan terjadi pada kulit muka. Maka merugilah usaha yang diikhtiarkan.
Cuba diterapkan maksud ini pada etika kerja, belajar, politik dan sebagainya. Andai tersasar, memudaratkan. Seandainya berjaya mencapai matlamat dengan meniru, hayatnya tidak lama kerana tanpa asas yang kukuh sesuatu pencapai itu kosong jiwa dan akan tumbang akhirnya.
Yang tersorot:
Hakikatnya tidak salah untuk meniru kerana secara alami (semulajadi), anak-anak kecil akan meniru perlakuan dan gelagat manusia (biasanya ibu-bapa) yang mereka lihat tanpa mengetahui sebab disebalik perlakuan tersebut. Begitu juga perkataan yang disebut-ulang, terbit dari apa yang mereka dengar.
Bagi yang waras dan dalam proses belajar, moleklah jika sedang meniru, ditanamkan sifat ingin memahami dan mengetahui sebab musabab sesuatu tindakan itu. Bertitik-tolak dari itu diperbaiki, diperhalusi serta dipersesuaikan dengan jatidiri. Andai tidak, “…serabut” di penghujung usaha.
.
Friday, December 10, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment