.
Kau sering ku lihat,
....Berbayang di sudut mata,
....terpapar di jendela hati;
........Tanpa suara tanpa bicara.
.
Aku tahu kau tiada di situ,
....Jauh sekali memandang mahupun mendengar;
........Besar juga harapku agar kau faham
........keluh kesah yang terkait di sanubari ini.
.
Andai kau dekat rapat;
....Akan ku rangkul,
........Ku dakap erat penuh semangat.
.
Apalah juga daya ini,
....Jasad kau tiada lagi,
........Sebati kembali bersama bumi;
Sungguhpun aku bukan bersendiri,
....Kau tetap tiada yang mengganti.
.
Yang dapat ku gapai hanya sekadar ingat,
....Memori indah ku hias hebat;
........Hari-hari terdahulu dikilir dipahat,
............Agar lekat ke hujung hayat.
.
Rindu yang tersemai,
....Akan terus subur bercambah;
........Mekar menguntum,
........Lebat berputik,
........Sarat berbuah,
........Ranum berpanjangan.
....Entah bila akan tertuai…
.
Al-fathihah.
.
taman melawati, kuala lumpur,
isnin, 17:20 ptg,
22hb. Mei 2006.
Yang tersirat:
.
Ingat teman den_nai Sang Kemboja yang tidak lagi bersembunyi? Puisi di atas tertulis menyelami dan meluahkan gambaran hatinya yang baru kehilangan adiknya. Menurut beliau Angah meninggal di dalm pangkuannya pada pagi 14hb Mei 2006.
Rentetan dari puisi ini berbalik kepada diri den_nai juga. Dua minggu den_nai termanggu. Hati menjadi berat dan terlayang pada arwah-arwah yang telah pergi. Sakit sungguh rindu yang tak terubat ini. Teringat den_nai akan sebait senikata lagu lama yang berbunyi; “…kalau rindu jumpalah orang yang membawa kumannya.” How true that is!!! Apatah lagi bertambah pedihlah kalau yang dirindui telah pulang ke penciptanya.
Den_nai unjurkan usul pada Mak untuk mengadakan kenduri arwah dan doa selamat pada 03hb Jun 2006. Alhamdulillah keluarga setuju, tambahan pula telah lama kami tidak mengadakan majlis sebegitu. Maka bersepakatlah kami mengerjakannya.
Yang menariknya den_nai aturkan agar Ruhil (ingat anak arwah Ruslan di JB?) turut hadir pada majlis tersebut tanpa pengethuan semua. Meriah jugalah kenduri pada hari itu. Then again, bila pula tak meriahnya bila dah reramai berkumpul? Ruhil jarang hadir bersama kami semasa kecilnya. Kini sudah hampir 16 tahun usianya barulah di “lepas” jauh bersendiri oleh mamanya.
Den_nai ingatkan sesudah kenduri redalah rindu den_nai terhadap mereka; namun seperti baris-baris terakhir puisi ini, ‘…meranum berpanjangan. Entah bila akan tertuai.” Begitulah bebannya di hati ini walaupun telah 16-17 tahun berlalu.
Al-fathihah
.