.
Hampa rasa
Tiada lagi terdengar
Hambar suasana
Sunyi berita tiada khabar.
.
...Temu pertama kedu tergamam
...Melamun siang bermimpi malam
...Nurani meneka berbisik sentiasa
...Apakah ini dinamakan cinta?
.
...Hari dilalui segar
...Cerah tambah sinar
...Malam terasa nyaman
...Kelam makin tenang.
.
Apa sebab mengapa
Diri kini sering tertanya
Suara tiada bersambut kata
Sepi bahasa hilang mesra.
.
Kasih berlalu sendiri
Rindupun semakin jauh.
.
taman melawati, kuala lumpur,
17:30 ptg,
26hb. Mac 2004.
Yang tersirat:
Cinta dan airmata. Pertemuan dan perpisahan. Lumrah alam. Berpisah roh dan jasad adalah penamat segalanya di dunia fana ini; namun sebagai manusia biasa terpisah kasih serasa amat payah dan berat sekali. Benarkan? Tak pernah melalui cinta yang tak kesampaian seperti yang diimpikan? Andai sebegitu, izinkanlah den_nai bersilisih pendapat.
Tak perlulah cuba memadamkan kisah-kisah semalam kerana semua itulah yang membentuk diri kita seadanya pada hari ini. Terima dan redha. Seharusnya bijaklah kita memilih antara tauladan dan sempadan.
As the cliché goes; it’s better to love and lost than not to love at all. Ada juga benarnya
Yang tersurat:
Penceritaan puisi ini agak menarik kerana ibarat penceritaan berbentuk visual, ia memaparkan rentetan frame/frasa imbas-kembali, iaitu pada rangkap kedua dan ketiga. Pemilihan kata yang den_nai pakai agak mudah dan penggunaan perlambangan boleh dikatakan tiada lansung. Akan tetapi dua baris terakhir mampu membawa maksud yang berbeza.
Pada den_nai puisi ini lebih menjurus kepada perpisahan namun “…rindu semakin jauh” boleh diertikan sebagai insan-insan ini telah bertemu dan menyatu cuma perasaan rindu itu yang telah berlalu; yang turut menafsirkan perasaan mereka tidak seindah dahulu –kini pudar dan hambar.
Yang terseret:
Sering juga den_nai menunjukkan Ayu akan hasil-hasil penulisan den_nai nan terkini. Lazimnya; ek tidak, uk pun tidak. Berlalu sebegitu sahaja. Jarang sekali kami berbincang apatah lagi Ayu berhujah perihal kosakata mahupun penyusunan ayat dsb. Mungkin Ayu sendiri faham tulisan ini terlalu peribadi buat den_nai lalu memberi ruang den_nai ber “sendiri”; tambahan pula tiada guna disanggah kerana akan berkesudahan – wal hasil balik asal. Eloklah didiamkan sahaja. Alahai isteri den.
Pun begitu, sebagai menghargai, den_nai abadikan tajuk puisi ini yang diberikan oleh Ayu, kekasihku.
Friday, October 9, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Salam Pujangga Deli,
"jika dibaca secara tersirat, ada nasihat dalam catatan saudara pada kali ini".
Post a Comment