Friday, October 23, 2009

SUATU HARI NANTI

.
Walaupun masih jauh
Di mata ayah sudah terbayang
Membuatkan hati ayah sebak
Airmata mula berlinang
.
Aku nikahkan akan dikau…
...dengan anakku...
Itulah akad yang ayah doakan berlaku
Namun ayah harap jangan berlalu
.
Sayang sayang buah kepayang
Jantung hati ayah nan seorang
.
Akan berjauhankah anak ayah?
Akan sepikah rumah ayah?
Akan sunyikah diri ayah?
Yang pasti…
Bertambah rindulah hati ayah.
.
taman melawati, kuala lumpur,
jumaat, 12:00 tgh
3hb Jun 2005
.

Yang tersirat:

Berhari-hari den_nai menangis dek puisi ini. Takut kehilangan, khuatir dilupakan atau kemungkinan dipinggirkan? Semua ini ada kebenarannya. Kita sekadar merancang, ALlah s.w.t. jua yang menentukan. Memang kita sentiasa bermohon yang muluk-muluk; tapi ditakdirkan yang buruk-buruk menjengah, kena terima juga. Itu kehidupan namanya.

Terlayang juga den_nai akan senario hari tersebut dan hari-hari berikutnya. Bagaimanakah realitinya nanti? Wallahu’allam. Jangan kerana puisi ini anak-anak den_nai enggan berumah tangga; ayahnya pula disalahkan.. Berkahwinlah anak-anak ayah. Itu satu tuntutan dan satu nikmat kehidupan.

Yang tersorot:

Ini adalah puisi pertama den_nai yang den_nai terjemahkan ke bahasa Inggeris bertajuk Someday. Impaknya tidak seperti puisi asal; maksudnya kesampaian tetapi “libas”nya sipi. Den_nai paparkan untuk pembaca menilainya.

SOMEDAY

Though afar
Daddy foresee
That makes my heart heavy
And eyes teary
.
And to...
...I give away this bride...
That’s the day I prayed to happen
But I hope mistaken
.
Entwined, double bind
My whole, ye the one
.
Will my love be apart?
Will my home be still?
Will my self be lonely?
For sure…
My heart will long for you.
.
taman melawati, kuala lumpur,
friday, 12:00 pm
3rd June 2005
.

Yang terseret:

Dapatkah pembaca menggambarkan den_nai membaca puisi ini di keramaian tersebut? Versi asal tentunya. Tersudahkah pembacaan den_nai? Marahkah anak-menantu den_nai? Tersindirkah para jemputan? Entahlah. Namun persoalan cepumasnya; hadirkah den_nai pada hari tersebut? Sekali lagi, Wallahu’allam.

Selamat berbahagia anak-anak ayah.

Maaf, den_nai menagis lagi.
.

Friday, October 9, 2009

PERSINGGAHAN

.
Hampa rasa
Tiada lagi terdengar
Hambar suasana
Sunyi berita tiada khabar.
.
...Temu pertama kedu tergamam
...Melamun siang bermimpi malam
...Nurani meneka berbisik sentiasa
...Apakah ini dinamakan cinta?
.
...Hari dilalui segar
...Cerah tambah sinar
...Malam terasa nyaman
...Kelam makin tenang.
.
Apa sebab mengapa
Diri kini sering tertanya
Suara tiada bersambut kata
Sepi bahasa hilang mesra.
.
Kasih berlalu sendiri
Rindupun semakin jauh.
.
taman melawati, kuala lumpur,
17:30 ptg,
26hb. Mac 2004.



Yang tersirat:

Cinta dan airmata. Pertemuan dan perpisahan. Lumrah alam. Berpisah roh dan jasad adalah penamat segalanya di dunia fana ini; namun sebagai manusia biasa terpisah kasih serasa amat payah dan berat sekali. Benarkan? Tak pernah melalui cinta yang tak kesampaian seperti yang diimpikan? Andai sebegitu, izinkanlah den_nai bersilisih pendapat.

Tak perlulah cuba memadamkan kisah-kisah semalam kerana semua itulah yang membentuk diri kita seadanya pada hari ini. Terima dan redha. Seharusnya bijaklah kita memilih antara tauladan dan sempadan.

As the cliché goes; it’s better to love and lost than not to love at all. Ada juga benarnya

Yang tersurat:

Penceritaan puisi ini agak menarik kerana ibarat penceritaan berbentuk visual, ia memaparkan rentetan frame/frasa imbas-kembali, iaitu pada rangkap kedua dan ketiga. Pemilihan kata yang den_nai pakai agak mudah dan penggunaan perlambangan boleh dikatakan tiada lansung. Akan tetapi dua baris terakhir mampu membawa maksud yang berbeza.

Pada den_nai puisi ini lebih menjurus kepada perpisahan namun “…rindu semakin jauh” boleh diertikan sebagai insan-insan ini telah bertemu dan menyatu cuma perasaan rindu itu yang telah berlalu; yang turut menafsirkan perasaan mereka tidak seindah dahulu –kini pudar dan hambar.

Yang terseret:

Sering juga den_nai menunjukkan Ayu akan hasil-hasil penulisan den_nai nan terkini. Lazimnya; ek tidak, uk pun tidak. Berlalu sebegitu sahaja. Jarang sekali kami berbincang apatah lagi Ayu berhujah perihal kosakata mahupun penyusunan ayat dsb. Mungkin Ayu sendiri faham tulisan ini terlalu peribadi buat den_nai lalu memberi ruang den_nai ber “sendiri”; tambahan pula tiada guna disanggah kerana akan berkesudahan – wal hasil balik asal. Eloklah didiamkan sahaja. Alahai isteri den.

Pun begitu, sebagai menghargai, den_nai abadikan tajuk puisi ini yang diberikan oleh Ayu, kekasihku.

Friday, October 2, 2009

ABANG LAMBAT PULANG

.
Janganlah abang lambat pulang
Anak dirumah asyik bertanyakan
Jenuh agaknya seharian berkurungan
Tercari-cari ayahnya mengajak berjalan
Berlari-lari di taman permainan.
.
Usahlah abang lambat pulang
Adik dirumah agak kesunyian
Walaupun riuh anak berbisingan
Masakan sama abang temankan
Gurau senda omong-omongan.
.
Hari abang lambat pulang
Hati rindu tidak keruan
Suara di telefon mana nak samakan
Kelibat dan sentuhan itu yang didambakan
Lirik dan pandang amat mengasyikkan.
.
Bila abang lambat pulang
Diri dibelit seribu persoalan
Sibuk bekerja sekat dijalanan
Anak dara lain perempuan
Berselerakkah rumah
tak berperisakah juadah
Pelbagai prasangka datang menjengah.
.
Abang,
Janganlah nanti…
Rindu bersulam sangsi
Jenuh jadi tak peduli
Hadirpun tiada erti
Telah adik lupa erti sunyi.
.
pandan jaya, kuala lumpur
11:40 pagi,
14hb. April 2004.
.


Yang tersirat:

Menyelami hati seorang wanita, naluri seorang isteri pastinya. Tersasarkah den_nai? Menduga hati seorang wanita sememangnya sukar apatah lagi yang bergelar isteri. Ayu bukanlah seorang suri rumah sepenuh masa; seperti den_nai hilang pagi munculnya lewat petang. Lazimnya bersama pulang-pergi kerja, drop-off dan pick-up di perhentian-perhentian tertentu.

Den_nai berpendapat seorang isteri harus ada curiga dan panjang akal mengamati kelakuan sang suami. Orang lelaki, al-maklumlah. Den_nai bukanlah suami mithali, tapi rasanya kalau seorang lelaki meletakkan keluarga (especially anak-anak) mendahului dirinya, itu sudah kira cukup bagus. Andai yang diberatkan adalah sepatu ataupun minyak wanginya; sang isteri perlu lebih-lebihlah memasang dan mengasah radar diri.

Selalulah meletakkan diri kita di tempat orang lain dengan tujuan untuk mendalami dan berpengertian. Ibarat seorang aktor memahami karektornya. Pada sang suami; pernahkah seharian di rumah menguliti urusan rumah-tangga? Cubalah. Kalau tak berterima kasih juga pada sang isteri, den_nai tak tahulah. Bagi pasangan yang menggaji orang lain untuk kesemua tugasan ini, itu bab lain. Sang isteri kalau sakit pening, anak-anak masih dapat makan-pakai. Kalau sang suami, bertambahlah beban sang isteri melayani kerenah baby 100 kilo…
.