Friday, June 19, 2009

KELAHIRAN

.
Cukuplah den-nai bercerita tentang kematian pada blog-blog yang terdahulu. Beralih kita pada topik yang lebih menceriakan, tentang kehidupan. Yang patah tumbuh yang hilang berganti; walaupun tak serupa, itulah kehidupan namanya...
.
KELAHIRAN
.
Berakhir sudah penantian ini,
Sembilan purnama sepuluh hari,
Walau bukan aku yang mengusung
kesana kemari,
Gelisah terasa perit mencacahi.
.
Kelahiran pertama di lewat usia,
Telah kutunggu sekian lama
Bukan satu malah hadirnya dua;
Didatangkan satu tanpa nyawa,
Seperti tertulis di azali syurga.
.
Kusambut Indah melaung takbir,
Suchi kutatap sepenuh zikir;
Hatiku teruja zuriat pertama,
Jiwaku gelora kehilangan cahayamata.
.
Tidaklah aku bertawa girang,
dek Rohaniku harus kusemadikan;
Tidak pula aku berduka nestapa,
kerana Nuraniku sihat sempurna
ingin kuraikan juga.
.
Sebu dan tepu,
Berjurai bening mutiara,
Menerima anugerah...
seadanya.
.
shah alam,
10:20 pagi,
04hb. Mei 2007
.
.

Yang tersirat dan tersorot:

Luka hilang, parut tinggal.

Esok, 20hb Jun 2009, ulang tahun kelahiran Indah Nurani dan Suchi Rohani yang ke-8. Pantas putaran masa. Rasanya baru bernikah semalam. Mujur tak ada hutang tertunggak majlis perkahwinan. Meriah dan penat hari tersebut macam bergema aja lagi; penghujungnya lah.

Indah den-nai azan dan qamatkan, (sungguhpun anak padusi cuma harus di qamatkan sahaja) lewat zahirnya jam 2:20 ptg di Hospital Damai, Taman Melawati. Dalam kelekaan mengamati zuriat pertama, Dr. Hashim menyambut pula kehadiran Suchi pada jam 2:30 ptg. Suchi dibawa ke dunia fana ini bersama tembuni mereka berdua; kembar seiras, ditakdirkan satu tanpa nyawa.

Ayu den_nai tinggalkan sementara, untuk di’kemas’kan oleh jururawat. Indah yang masih merah terpejam di kotak bayi, mata ditutup sambil bersiram sinar kalimantang, juga den_nai tinggalkan. Den_nai ekori Dr. Hashim dan memperhatikannya membelah tembuni mengeluarkan Suchi. Maha suci Allah, telah sempurna sifat anak itu cuma kepalanya telah pipih memberi ruang untuk Indah membesar dalam kandungan. Jemari mulusnya genap sepuluh. Sayu dan pilu…

Kembali Ayu ke wad memulih semangat ditemani Mek dan Mok (ibu dan nenek mertua den_nai). Sejurus den_nai soroti membawa Suchi siap berbalut untuk disemadikan. Den_nai buka balutan menunjukkan Suchi pada Mek dan Mok. Ayu awalnya tidak mahu melihat, sedikit gerun dan menyayat pastinya. Den_nai katakan itulah sekali akan ia melihat anak yang pernah dikandungnya di alam fana ini. Beralah, ditatapi juga akan Suchi dengan linangan air mata.

Dek den_nai bersemenda, ingin den_nai semadikan Suchi di Seremban, walaupun bukan kubur kaum, di kampung laman jugalah kiranya. Bersendirian seperjalanan kurang-lebih 60 minit, fikiran den_nai bergentayangan berbalah fizikal yang in auto-motion. Tak perlulah den_nai coretkan kemana fikiran tersebut menerewang; terlalu jauh tentunya.

Di Seremban Mak dan chulai-chulai dah menyediakan apa yang patut. Sesampai den_nai, kami lansung ke rumah Mak Bidan, merangkap pengurus jenazah. Tanya Mak Bidan, “…mano tembuni eh… tanamlah sekali, toksahlah disengasingkan”. Maka pulang semula ke rumah akan ipar den_nai mengambil tembuni mereka.

Selesai dimandikan, den-nai berselisih pendapat dengan Mak Bidan, katanya itu anak lelaki walaupun den_nai tahu scientifically it’s a girl, then again who am I to argue; furthermore I'm way too drained to contest. Maka berserbanlah jasad anak itu ke liang lahad. Tak apalah, Suchi Rohani pun nama yang mampu dipakai kedua kelamin. Suchi dikebumikan di petak kubur yang sama dengan arwah Izwan Firdaus, albeit at different depth. (Rujuk entri Kenangan Iwan). Garis lembayung mula menampakkan diri sebaik selesai pengurusan persemadian.

Malam itu kami ke Kuala Lumpur untuk meraikan Indah Nurani. Den_nai tak memandu, sekadar termanggu sepanjang perjalanan. Memang payah untuk meyakinkan diri bahawa den_nailah insan yang terpilih. Berapa ramai yang menerima kelahiran anak pertama bernyawa dan tidak serentak? Den_nai seorang darinya. Bahagia dan kesedihan yang bertolak–tarik. Tiadalah den_nai terhilai ketawa seronok juga tidak terisak tangis menghiba.

If you were there then, what would you have said, especially to Ayu? Honestly, the air was so thick that night…
.

2 comments:

ZULKIFLI BIN MOHAMED said...

Salam Pujangga Deli,

"satu anugerah untuk saudara",

"satu ujian untuk saudara";

"moga yang ada terus sempurna hidupnya hari ini dan hari-hari yang terkehadapan" ...

_deli said...

Salam Sdr Zul,

Benar sekali, serentak datangnya dan memang sukar sekali untuk meletakkan perasaan (hati) dan melemparkan raut (wajah) yang seimbang pada waktu tesebut.

Indeed a test. Subhanallah.