Friday, March 20, 2009

TUNTUTAN KEMAJUAN

.
Kemajuan perlukan pengorbanan;
Pohon demi pohon rebah,
Bukit demi bukit habis ditarah,
Lembah dan lurah berubah wajah,
Litup bumi selesai punah,
Yang teserlah merah tanah.
.
Kemajuan perlukan pengorbanan;
Dahulu unggas riang berterbangan.
Berlari lompat ungka dan kera,
Redup memandang hutan menghijau,
Kini perit bahang dirasa,
Mergastua lesap entah kemana.
.
Kemajuan perlukan pengorbanan;
Basa-basi kini sudah basi,
Tingkah-laku tidak lagi bepekerti,
Tata-susila menyusah diri,
Sopan-santun hilang sepi,
Luput musnah jatidiri.
.
Kemajuan perlukan pengorbanan;
Jiran tetangga kurang bertegur,
Pantang larang satu persatu gugur,
Adat istiadat turut berkubur,
Garis peradaban mulai kabur,
Yang muncul congak dan catur.
.
Kemajuan merapatkan sempadan,
Jurang pemisah kononnya berkurang,
Satu dunia satu peradaban.
.
Namun,
Apa gunanya kemajuan,
Andainya yang diperlukan semua terkorban!
.
setiawangsa, kuala lumpur,
isnin, 17:45 ptg,
01hb April 2002
.


Yang tersirat:

“Biar mati anak jangan mati adat”; biasa dengarkan? Saudara juga pernah diperdengarkan dengan ungkapan, “…kalau anak dah mati, siapa nak menyambung adat!”. Betul jugakan?

Tapi perumpamaan orang dulu-dulu bukannya sekadar maksud yang tersurat sahaja. Memanglah kita tak mahu anak kita mati dek kerana apa sekalipun. Katakanlah adat menyatakan bahawa setiap anak pertama mesti dibunuh! Amacam? Double jeopardy. Lagi haru!

Maksudnya, andai anak dan adat diberi perbandingan dan pilihan, utamakan adat dahulu, kerana adat itu bangsa, rumpun kita. Perteguhkanlah. Bekorbanlah kita, hatta, seorang anak sekalipun demi untuk rumpun bangsa sendiri.

Banyak perkara yang berlaku di luar jangkaan dan kawalan kita atau kita sebenarnya membiarkan ia berlaku dan menjangka kawalannya. Erti kata lain, kita sebahagian dari perubahan itu tersebut tetapi lebih mencatur untuk diri sendiri dan lingkungan terdekat sahaja.

Adakah kita semakin menjurus menjadi enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing?

Friday, March 13, 2009

SUARA AYAH YANG KUINGAT

.
Suara ayah tak kudengar lagi
Telah lama ia menyepi
Pergi ayah tidak kembali
Pergi ia menemui Illahi
.
Suara ayah tidak kasar
Bila menegur penuh sabar
Alunannya mendatar biarpun bertengkar
Seingat yang aku dengar
.
Suara ayah tidak halus
Sekali menyebut kudengar terus
Memberi nasihat lembut mulus
Seingat yang aku arus
.
Suara ayah tidak nyaring
Kalau marah tidak menengking
Elok diucap kemas disunting
Orang menerima tidak melenting
.
Suara ayah tidak parau
Sopan bicara tiada ber aku-engkau
Sesekali terhilai juga tatkala bergurau
Seingat yang aku jangkau
.
Suara ayah tidak merdu
Apatah lagi kalau berlagu mendayu
Dibawa bersyairpun sekadar gitu-gitu
Seingat yang aku tahu
.
Suara ayah tidak gemersik
Bergempita juga bila amarah menjentik
Dikawal tawa tiada terkekek-kekek
Orang bersama jadi tertarik
.
Tiadalah gugup tersangkut-sangkut
Nadanya lembut iramanya patut
Baitnya kemas tuturnya segar
Bicaranya tegas sebutannya lancar
Begitulah kuingat suara ayah
Walaupun tidak lagi kudengar
.
taman melawati, kuala lumpur
28hb. Mac 2002.



Yang tersorot:

Over romanticized? You betcha!

Walaubagaimana pedih dan perit sekalipun, setelah di kocak masa, akan luntur juga getirnya. Hatta berlainan pula kalau yang manis, bertambah enak jadinya. Begitu sekali minda dan masa bila bergabung. Arwah ayah meninggal dunia pada tanggal 31hb. Julai 1990 pada jam 11:00 malam. Arwah berusia 61 tahun 20 hari tatkala itu.

Den_nai mencecah bumi Malaysia pada jam 2:30 petang hari tersebut setelah delapan tahun merantau ke bumi asing. Arwah bersama kerabat yang lain menjemput den_nai di lapangan terbang Subang (kini memori), lansung ke kuarters kerajaan Laman Peel (juga memori kini), rumah Kak Ngah. Berlabuh di sana sebelum pulang ke Seremban.

Kata orang arwah memang menunggu kepulangan den-nai sebelum pulang ke rahmat ALlah. Ralat? Kesal? Sudah tentu tidak. Sedikit terkilan ada juga terlintas. Mana mungkin den_nai kesal malah bersyukur yang teramat sangat; setidak-tidaknya den_nai bersua arwah di akhir-akhir hayatnya. Yang terkilan antaranya - arwah mengajak den_nai bersama makan pada petang itu tapi den-nai menolak. Yang selebihnya kerana tak berkesempatan berkongsi masa dan rahasia menjelang den-nai ‘dewasa’.

Setelah parkir di laman rumah, kami mendukung yang kecil-kecil (keponakan) masuk dan mengangkat barangan ke dalam rumah. Agak berlarutan juga masa memandangkan kami pulang dua buah kereta. Melangkah semula ke perkarangan rumah den-nai melihat arwah seolah-olah sujud ke bumi. Sangkaan den-nai arwah melihat-lihat tayar kereta atau apa sahaja ulah kenderaan tersebut sehingga den_nai hampir dan terdengar dengusan arwah. Lantas den_nai terjerit memanggil yang di dalam rumah, “…ayah tumbang!”.

Mengusung arwah ke dalam ruang tamu, den_nai rasa disitulah arwah menghembuskan nafas terakhirnya, di rumahnya sendiri. Den_nai dikhabarkan kemudian bahawa itu merupakan serangan jantungnya yang ketiga. Kami amat bersyukur kerana arwah tiba selamat ke rumah dan tidak ajal dalam perjalanan. Bayangkanlah kemungkinan-kemungkinan yang lain. Musibah tentunya. Den_nai pasti ALlah mengurniakan permintaan-permintaan terakhir ayah. Den_nailah orang yang penghabisan berbicara dan mendengar bicara penutupnya “…boleh”. Maka terbitnya SUARA AYAH YANG KUINGAT. Apa maksud di sebalik kata-kata itu biarlah den-nai menyimpannya sendiri. Cukup sekadar den-nai katakan sememangnya arwah menanti kepulangan den-nai.

Literally, I came home to bury my father.

Arwah seorang guru besar. Sedari den_nai lahir, arwah mengajar di Sekolah Kebangsaan Labu Ulu sehinggalah 5 tahun terakhir arwah mendidik; arwah dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Ampangan. Daripada berulang-alik 50km sehari ke 5km. Arwah bukan sahaja seorang guru; apa kerja yang tidak dibuatnya? Arwah – jack of all trade, al-maklumlah guru anak sembilan, faham-faham ajalah. Pernah den_nai melihat sendiri arwah menjahit pakaiannya yang robek dek tak mahu menyusahkan emak.

Sememangnya yang dipuisikan indah belaka, seolah-olah arwah tiada celanya. Tidak dinafikan arwah manusia biasa, namun kalau dibandingkan yang jengkel, harus tenggelam dek kebaikkannya. Murni seorang pendidik, jariahnya berkembang exponentially.

Teaching anyone?


Al-fathihah.

Friday, March 6, 2009

HARI-HARI BERLALU

.
Hari-hari terdahulu
Tidak akan berulang
Usia remaja tinggal kenangan
Bingkas ke sana ke mari tiada sempadan batasan
Bebas lepas
Aku orang bujang
Namun adakala aku kesunyian
Resah gelisah termanggu keseorangan
.
Hari-hari begini
Tidak seperti hari terdahulu
Aku kini sudah berteman
Berdua tiada lagi kesepian
Seperti belangkas sentiasa seiringan
Mata-mata cemburu melihat berterusan
Yang menjeling jemu-meluat juga tidak kurang
Namun aku terikat
Melangkah punya had dan titik garisan.
.
Hari-hari mendatang
Memang tidak seperti hari ini dan yang terdahulu
Tubuh-tubuh mungil dan suara-suara kecil
sentiasa berderetan dan bersahut-sahutan
Dekerumun dan dijerimpit
Tiada lagi saat bersendirian
Namun pasti aku keriangan
Hidup ini akan berterusan
Biarpun aku bukan lagi ada di dalam.
.
taman melawati, kuala lumpur,
5:00 ptg,
13hb Mar 2002.



Yang tersirat:

Suatu peralihan waktu yang pasti dilewati semua. Peralihan waktu itu sendiri maksud den-nai. Apa yang berlaku ketika waktu beralih berbeza bagi setiap individu. Antara ketetapan dan pilihan. Bagi yang mempercayai Qada' dan Qadar ALlah, ketetapan itu mudah diterima. Namun jangan pula lupa berusaha dan berdoa kerana berubahnya sebarang ketetapan itu hanya dengan doa. Tentang pilihan pula, apakah ungkapan "tepuk dada tanya selera" masih diterima-pakai, atau ia lebih bersifat ke-AKU-an kini?

Entahlah, den_nai kadangkala terperangkap tatkala cuba menerangkan apa yang difahami dan memahami apa yang diterangkan.