.
Tidak pantas dinampak mata,
Tidak enak didengar telinga,
Seorang ayah membelai, menyisir,
Lantas merias mahkota anak manisnya.
.
Itu suatu ketika dahulu,
Tatkala chauvinist diterima ramai,
Jalak di luar bersorak-sorai,
Suri di rumah mengandam surai.
.
Arus perubahan melanda masa,
Tugas dan tanggung-jawab dipikul bersama,
Tiada lagi garis nyata pemisah kerja,
Segala perkara milik kedua gender.
.
Snip!
Lalu terurai gugur rerambut itu,
Diiringi linangan airmata si Ayah.
.
taman melawati, kuala lumpur,
10:45 pagi,
26hb. Julai 2005.
Yang tersurat:
Asal jadi peristiwa – 10hb Julai 2005. Indah meminta rambutnya di gunting. Sedari lahir hanya juraian di dahi yang sering den_nai rapikan agar tidak melepasi aras kening; selebihinya sudah mulai mencecah aras pinggang. Indah sendiri yang mahukan rambutnya sebegitu dan sering dipelbagaikan. Tentunya den_nai sangsi atas permintaannya. Diulang tanya beberapakali, ditangguh hari ke hari; akhirnya dituruti juga kemahuannya. Arakian, pendeklah rambut Indah dan seterusnya Murni.
Yang terseret:
Seronoklah mereka berambut baru. Bertahanlah sehari dua. Menjangkau hari ketiga diminta semula berambut panjang kerana rambut yang pendek itu, lepas begitu tanpa dandanan seharian. Den_nai dah agak dah. Alahai anak ayah; terpaksalah den_nai ke kedai membeli hair extension.
Yang tersorot:
Acapkali sedang menonton televisyen mahupun melakukan aktiviti lain, tatkala terlihat akan anak-anak manis bersisir rapi, bertocang riben dua, berfrench braid, bersanggul hias, bersepit pelangi dan seumpamanya; Indah selalu bertanya, “…siapa yang buat rambut dia, ayahnya ya?”. Dan sekerap itu jugalah den_nai menjawab, “Indah, kamu dua beradik aja yang ayahnya buatkan, orang lain ibu mereka yang buat, …”.
Kini mereka dah pandai ikat rambut sendiri sungguhpun belum rapi. Akan tiba masanya, seperti ibu mereka, mereka tidak mahu rambut mereka dikemilikan oleh ayah…
Isk, isk, isk…
.
Friday, August 20, 2010
Subscribe to:
Posts (Atom)