Friday, January 29, 2010

KEMBOJA TIDAK LAGI BERSEMBUNYI: 720724

.
Kemboja
Suatu ketika dahulu
Kau sekadar terperuk di hujung kampung
Putihmu lambang kesucian
Menemani jenazah di alam barzakh
Berselang di antara nisan yang tidur tegak.
.
Sementelah zaman berubah
Kau pula berubah wajah
Serimu kini bewarna-warni
Bukan sekadar putih suci
Beralih medan tidak lagi bersendiri
Frangipani, pseudonym yang lebih menyerlah kini
Merdu juga sesekali disebut bunyi.
.
Esok
Kau kan maju jauh melangkah
Terus menghias laman-laman kota megah
Harummu nanti semarak menjelajah
Sungguhpun halus, semerbak mewangi
Kau mekar penuh pasti
Teserlah, tidak lagi bersembunyi.
.
klcc, kuala lumpur,
2:05 ptg
24 julai 2004



Yang tersorot:

Den_nai berada di Suria KLCC pada hari itu. Selesai mencari bahan rujukan kerja; untuk mengisi waktu sebelum mengambil Ayu di pepenjuru bersetentangan setamat kerjanya nanti, den_nai bersenang-senang di laman KLCC memerhatikan gelagat manusia yang sibuk merakam aksi masing-masing berlatar-belakangkan sikembar tertinggi dunia fana ini.

Beralih menikmati lanskap yang disusun kemas menurut sifir-sifir tertentu, pandangan den_nai terhala pula ke arah sudut yang dirimbuni kemboja merah hati dan kuning-jingga. Sudah pastinya den_nai membandingkan kembang tersebut dengan kemboja-kemboja yang den_nai kenali suatu ketika dahulu; putih berkekuningan di tengahnya. Letaknya tidak seperti di rantau Asia Pasifik; pada mana kuntum-kuntumnya dirai saban waktu; kemboja di sini terpojok di hujung-hujung kampung di tanah perkuburan. Sayang si kemboja.

Yang tersirat:

Sedetik masa, den_nai teringatkan seorang teman, Kak Aan yang kebetulan ulang tahun kelahirannya jatuh pada hari itu, yang ke 32. Jarang den_nai menghadiahkan apa-apa barangan untuk teman-teman pada harijadi mereka; kalau sekadar ucapan lazim tu biasalah. Aan antara teman-teman yang istimewa. Beliau sedang melalui lintasan yang sukar dalam hidupnya – penceraian; dek sebab keadaan dan suratan takdir pastinya.

Lantas den-nai bataskan diri dari sekeliling, mengeluarkan buku nota pemberian Natrah agar “…ilham awal dicoretkan disitu”; itu pesan Natrah. And the rest is … jotted on paper. Hasil yang saudara baca tidak banyak yang disunting dari teks asal. Hampir sejadinya begitu.

Tentu pembaca lebih arif akan maksud tersirat. Selesai mengaris ilham, den_nai menelefon Aan membacakan draf asal puisi ini. Masih teringat den_nai akan keterujaan beliau mendengarkan bait-bait ini. Tentunya den_nai turut gembira dan senang dengan penerimaannya itu.

Kak Aan, moga yang terbaik menanti buat kamu. Insya’ALlah.
.