Friday, February 6, 2009

SAPUTANGAN PEMBERIAN ISTERI

.
Isteriku membeliku saputangan
Katanya yang dahulu dah kusam
Abang pakailah yang baharu
Warnanya terang cantik dipandang
.
Isteriku membeliku saputangan
Katanya yang kelmarin tak padan
Saiznya kecil tiada kesesuaian
Yang ini lebar elok melangirkan
.
Isteriku membeliku saputangan
Katanya yang lama banyak dah hilang
Lesap di ampaian diambil orang
Atau dibawa angin terbang melayang
.
Isteriku membeliku saputangan
Kata orang putih itu tanda perpisahan
Tapi aku Minang aku tak kisahkan
Aku pakai tanda penghargaan
.
Isteriku membeliku saputangan
Dia sendiri tidak berkepunyaan
Sering bertisu dalam genggaman
Selesai dipakai tinggal keciciran
Mungkin sebab itu dia tidak bersaputangan
.
Kuning biru merah putih hitam
Warna pelbagai kuguna berulang-ulang
Disisip di saku dilipat di kocek
Kujaga kusimpan tanda kusayang
Saputangan-saputangan yang isteriku berikan
.
.
taman melawati, kuala lumpur,
12:50 ptg,
08hb. Mac 2002.
.


Yang tersorot:

Menghargai pemberian seseorang itu amat penting, apatah lagi dari orang yang dekat dihati. Den-nai sering melihat (dan seringkali terusik) apabila ada yang cuma menghargai yang 'berharga' sahaja; pastinya berbentuk material. Bagaimana pula dengan pemberian yang intangible, tidak ketara mahupun nyata seperti ilmu, didikan atau memori. Pada pandangan den-nai inilah pemberian yang tak ternilai harganya.

Wahai teman, terimakasih.