.
Isteriku mengandung sulung,
Wajahnya tampak berseri,
Manis bercahaya merah di pipi,
Dulu melenggok bertumit tinggi,
Kini memboyot berseliparpun dah tak reti.
Isteriku mengandung sulung,
Tidur malam mula tak lena,
Mengiring salah melentangpun salah,
Meniarap pula lagi tak kena,
Terkebil mata runsing resah.
Isteriku mengandung sulung,
Terjaga pagi matanya merah,
Badan letih bangun digagah,
Duduk tafakur atas sejadah,
Qiam, rukuk, sujud kini tak betah.
Isteriku mengandung sulung,
Mood swingnya turun naik melantun-lantun,
Aku senyum dia murung,
Sekali dirajuk sering dipujuk,
Hendak berguraupun kena tengok-tengok.
Isteriku mengandung sulung,
Matanya cemerlang sinar gembira,
Menghitung hari bercahaya mata,
Sibuklah shopping semua nak disedia,
Kad kredit aku tergadai jadi mangsa.
Isteriku mengandung sulung,
Penat jasad asyik bergerak,
Diajak bersenda dia tak hendak,
Tempias jerih aku pulak yang gendong,
Berbulan-bulan ‘puasa’ ditanggung.
Isteriku mengandung sulung,
Dia mengeluh tak mahu lagi,
Kata “…cukuplah bang satu kali”
Tapi …siaplah nanti,
Habis ‘cuti’ pasti berisi lagi.
taman melawati,
kuala lumpur,
5hb. Jun 2001.
Yang tersurat:
Peralihan waktu yang nyata. Perubahan demi perubahan yang tak dapat dibendung, cuma sekadar bersedia dan merawat apa juga kemungkinan yang mendatang. Itupun belum tentu dapat ditangani sewajarnya.
Friday, December 26, 2008
Friday, December 12, 2008
KENANGAN: IWAN
.
Rintik hujan dari cucur atap
Membentuk lompangan di pasir bersikat rapi
Bersama kita tampung
Kau dengan telapak kecilmu
Namun lebih asyik bersiram lencun
Riang lunak tawamu.
Derau ombak memukul pantai
Lewat surut di bawah mentari siang
Bersama berlari membelah arus
Kau dengan langkah pendekmu
Lebih tekun menginjak anak-anak kepiting
Mengilai derai jeritanmu.
Sepoi angin petang
Menampar pipi membelai rambutmu
Bersama berayun di buaian
Tiada terinjak kakimu di lantai bumi
Bundar matamu menatap sekeliling
Lugu kau dalam pangkuanku.
Disember
Kau melambai jemari halusmu
Katamu kaukan pergi jauh
Kiranya itu lambaianmu terakhir
Memori yang kubina untuk dikau
Rupanya kenangan milikku sendiri
taman melawati
kuala lumpur
1hb Jan 2000
4:00 ptg
Yang tersorot:
Suatu tengahari, lunch break, hujan turun agak lebat memaksa den_nai berteduh; lantas singgah di kedai abang Rahmat dan kak Jah di Medan Selera Taman Melawati. Seselesai menguncupkan payung, den-nai memesan nasi goreng kampung pada Mak Jah atau lebih mesra dengan panggilan ibu.
Sambil menantikan pesanan tiba, perhatian den-nai tertumpu pada unjuran atap yang disambung dari gerai tersebut. Ingatan den_nai langsung tersorot kepada puisi ini. Minda memutarkan puisi beraksi, poetry in motion. Maka terimbaulah den_nai akan kenangan-kenangan yang diseretnya bersama. Tersangkut-sangkut den-nai menelan ayapan yang tiba, bersulam sendu dan hiba.
Awal pemergian arwah abang Ruslan yang den_nai panggil Ka’Chek, den-nai adik-beradik diturut Mak sering ke Johor Bahru mengunjungi anaknya Ruhil Alina. Arwah tidak pernah bersua anak ini kerana arwah meninggal tatkala Ruhil berusia 5 minggu dalam kandungan. Dek kami di Seremban, sedaya ada, kami akan turun menjengok perkembangan anak itu. Di kesempatan yang dapat, den_nai membawa Ruhil berjalan dan bermain di taman permainan berhampiran. Rangkap yang ketiga itu adalan Ruhil sebenarnya.
Rangkap pertama mengingatkan den_nai pada arwah Ayah. Semasa kecil, den_nai tinggal di Labu, Negeri Sembilan. Arwah ketika itu menyewa sebuah rumah beratapkan zink, tempat kami berlindung berteduh. Zink merupakan bahan bina yang popular di waktu itu. Selain kegembiraan den_nai berhujan, alunan membingitkan rintik dan timpa hujan di atap tersebut masih terngiang di telinga den_nai.
Rangkap kedua, juga diri den_nai sendiri yang sekali–sekali dibawa arwah Ayah berkelah di Port Dickson sambil melawat Ochek Mok sekeluarga. Jelas sekali betapa carefree nya zaman anak-anak. Berebut-rebut den_nai dengan abang-abang, kakak-kakak dan sepupu-sepupu berlari-lari menginjak anak-anak ketam tatkala air surut.
Dua rangkap terakhir itulah Iwan – arwah Mohammad Izuan Firdaus bin Ishak. Iwan meninggal di umurnya menghampiri 2 tahun. Arwah adalah anak kepada arwah Kak Teh den_nai, Fatimah Zahrah. Mereka sekeluarga terkorban kecelakaan jalanraya pada Krismas 1990, genap setahun pemergian arwah Ruslan yang meninggal dek musibah yang serupa. Arwah Kak Teh yang sedang sarat mengandung lapan bulan bertemu ajal di Trolak, sekembalinya bercuti dari Cameron Highlands. Arwah Ayah pula meninggal pada 31 Julai 1990 di hari kepulangan den_nai ke tanah air.
Adapun den-nai sempat bermain-mesra dengan arwah Iwan selama 5 bulan sahaja, itupun pada hujung minggu yang berselang-selang. Tidak banyak memori den_nai dengan arwah. Namun lambai tangannya di subuh hari sebelum tragedi itulah yang terpahat di ingatan den_nai. Abadi.
Begitulah kehidupan. Adakala apa yang ingin kita tinggalkan rupanya ditinggalkan untuk kita merenung kembali.
Al-fathihah.

Friday, December 5, 2008
UNTUK ISTERIKU
.
Aku datang dari jauh
bersama silam bersama lampau
semalam dan kelmarin kugendong juga
getir-pahit diusung tak kulupa
masam, manis dan masin turut serta
duka-sengsara tak kutinggalkan
riang, hambar dan tangis berjalan seiringan
suram-sinar berlari bersaingan
kilau fajar terlukis di minda
rembang senja tercalit di kalbu
cerah siang tercoret di atma
kelam dini terpalit di sukma
indah-jelik silam nuraniku
murni-sopak lampau pekertiku
mulia-cemar sanubariku
suci-noda kelmarin peribadiku
sambutlah aku
railah aku
lapangkanlah dadamu
luangkanlah hatimu
tempatkan aku kukuh seiring dijiwamu
sematkan aku teguh dalam rohanimu
terimalah aku
seadanya aku
kasihku
isteriku
taman bakti, ampang
24hb Dis 1999
8:25 malam
Yang tersirat:
Doa dan harapan.
Den-nai menempuh alam perkahwinan di usia yang agak lewat, tentu sekali menambah keterujaan; apatah lagi persoalan hari-hari terdahulu tidak sedikit, membebankan.
Den-nai menghamparkan kekusutan, mengungkapankan yang terlindung, membentangkan yang sedia nyata - berpada-pada. Mudah-mudahan hari-hari mendatang dihindari persengketaan kononnya tiada penyesuaian jiwa sedari mula.
Den-nai memulakan dengan helaian baharu.

BISMILLAH-HIR-RAHMAN-NIR-RAHIM
.
...memulakan sesuatu pekerjaan, dan di Jumaat, penghulu segala hari. Harusnya yang bertujuan muluk-muluk.
Assalamualaikum.
Penulis akan menggunakan gantinama diri (pertama) den_nai. Sahihlah penulis orang berketurunan Minang, sungguhpun ketegarannya sedikit melentur.
Den_nai ingin menghimpunkan puisi-puisi den-nai sedari awal pernikahan hingga dewasa ini. Pada setiap paparan akan disisipkan juga ulasan terbitnya puisi tersebut, arahnya, yang termaksud dan mungkin sekelumit ceritera disebaliknya.
Seandainya para peng-intai (lurkers) sekelian mempunyai tafsiran mahupun pemahaman tersendiri akan bait-bait kata bersusun ini nanti, persilakanlah. Sebaiknya ajukan apa yang dibenak saudara pada nota kaki. Kecil telapak tangan, nyiru den_nai tadahkan.
Yang tersurat, tersirat, tersurih, tersorot dan terseret adalah pemikiran murni setiap diri yang harus dihormati.
Salam bermula.

Subscribe to:
Posts (Atom)